HomeBeritaViralBerderau darah! Budak 6 tahun pandu kereta di Langkawi hingga terbabas 

Berderau darah! Budak 6 tahun pandu kereta di Langkawi hingga terbabas 

 

CYBERJAYA: Suatu kejutan buat penduduk kampung Titi Cawang, Langkawi, Kedah, apabila sebilangan mereka menyaksikan kemalangan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang kanak-kanak, semalam.

Menerusi sebuah video yang tular di TikTok berhubung kejadian, kelihatan sebuah kereta jenis Vios dipandu seperti tidak tentu arah di jalan raya. 

Dek kerana pemanduan yang membahayakan itu, kereta terbabit terbabas di tepi jalan sehingga membuatkan orang ramai berhenti untuk melihat keadaan pemandu dalam kereta terbabit.

Bagaimanapun, keadaan mengejutkan apabila di tempat duduk pemandu hanya ada seorang kanak-kanak lelaki lingkungan usia 6 tahun ditemani adiknya yang duduk di kerusi penumpang.

Ketika ditanya soalan terhadap kanak-kanak berkenaan, anak kecil yang memandu tanpa pengawasan orang dewasa itu hanya menyatakan dia ingin pergi ke kedai sahaja.

“Tadi saya nak pergi kedai,” jawab kanak-kanak yang memandu itu.

“Kami ingat pemandu mabuk yang bawa kereta sebabtu kami ligan (kejar) kereta ni,” kata seorang lelaki dipercayai penduduk sekitar kawasan terbabit.

Ditanya mengenai ibu bapa, anak kecil itu menyatakan bahawa ibu mereka ada di rumah. 

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga net terkejut serta mempersoalkan bagaimana kanak-kanak sebesar usia itu sudah mahir memandu kereta.

“Umur 6 tahun bawa kereta, 4 tahun yang akan datang dia bawa lori pula, power kau adik, akak yang umur 30 tahun pun tak pandai lagi bawa kereta,” tulis netizen di komen.

“Lepas ini aku kena letak kunci kereta di atas atap, baru tak boleh ambil,” komen seorang lagi pengguna TikTok.

“Sikit lagi Dominic Toretto rekrut budak ini join team diorang,” seloroh netizen.

“Ko (kau) dah terkenal satu Malaysia adik,” komen netizen selepas melihat video terbabit.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor