HomeHiburanBiarlah populariti seiring bakat, rupa sahaja tak cukup – Ajai

Biarlah populariti seiring bakat, rupa sahaja tak cukup – Ajai

 

CYBERJAYA: Komposer popular, Ajai menyatakan tugas seorang juri bagi sesebuah pertandingan nyanyian itu amat besar dan perlu diambil serius.

Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 48, selaku penggiat seni, dia bertanggungjawab untuk untuk menyaring bakat yang benar-benar serius dan bermutu untuk diketengahkan dalam industri seni.

“Untuk menyelamatkan industri, saya fikir itu kerja kami (juri). Memang benar, ada penyanyi yang ada imej (ada rupa), peminat namun tiada suara.

“Biarlah populariti seiring dengan bakat. Jika tidak, seolah-olah awak sedang tipu peminat. Awak kata boleh menyanyi tapi sebenarnya tidak.

“Kita mahu cari keseimbangan, mahukan generasi pelapis yang boleh industri banggakan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Ajai berkata demikian pada sidang media program realiti nyanyian ‘Big Stage’ musim kelima yang kini ditayangkan di saluran Astro.

Dalam pada itu, Ajai yang seringkali terpalit selaku juri paling ‘cerewet’ mengingatkan bakat-bakat baharu supaya sedar bahawa imej dan vokal yang baik sahaja tidak mencukupi.

Katanya, sebagai seorang penyanyi, mereka harus mempunyai alasan lain untuk ‘menjual’ diri kerana industri seni penuh persaingan, jadi seseorang itu harus lebih menonjol.

“Kita tidak boleh salahkan peminat jika mereka meminati artis yang vokalnya tidak cukup matang. Itu pilihan masing-masing. Di sini, penyanyi sendiri harus lebih terbuka untuk beradaptasi dengan perubahan.

“Sebab itu kita memerlukan khidmat Artist and Repertoire (A&R) yang akan menentukan pembawaan serta jenama artis.

“Kita lihat Aina Abdul, dia menurut saya artis yang bijak. Jika selepas lagu Sumpah dia tak lakukan sesuatu, dia juga tak boleh pergi.

“Aina bermain dengan busana, awal-awal orang kecam. Lama-lama haters bertukar sayang,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor