HomeHiburan‘Eraser’ filem terakhir lakonan Adibah Noor, tayangan 1 Jun di Prime Video

‘Eraser’ filem terakhir lakonan Adibah Noor, tayangan 1 Jun di Prime Video

CYBERJAYA: Kerinduan peminat melihat lakonan bersahaja namun mengesankan iaitu pelakon dan penyanyi legenda, Allahyarhamah Adibah Noor boleh diubati menerusi lakonan terakhirnya dalam filem tempatan baharu berjudul Eraser.

Filem arahan Mark Lee See Teck itu akan ditayangkan pada 1 Jun di platform Prime Video. 

Filem berdurasi 94 minit itu boleh dikatakan sebagai hadiah perpisahan daripada pelakon berbakat yang telah pulang ke Rahmatullah pada 18 Jun 2022.

Filem yang ditulis oleh Mark Lee, Tang Yen dan Siti Jasmina Ibrahim, turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Nam Ron, Angela Chan, Dhiya Ariffin dan Alyssa Lee.

Eraser, sebuah naskhah ‘Malaysia’ yang bermula dengan kisah keluarga yang porak peranda namun bertahan dalam kerasnya kehidupan. Ia turut menampilkan konflik di mana jika pergeseran terus  berterusan di antara kaum, maka tiada perpaduan dapat dibentuk.

Menurut pengarah, Mark Lee See Teck, penggunaan pemadam Bendera Malaysia untuk menggambarkan keadaan sosial antara kaum.

Katanya, metafora  itu mewakili negara melalui pemadam dan jika pergeseran berterusan negara itu akan berkurangan dan ‘lenyap’ suatu hari nanti.

“ERASER adalah kisah kembara keluarga yang porak peranda namun bertahan kerana kasih sayang yang tidak berbelah bahagi walaupun berbeza keyakinan agama.”

“Ia membuktikan dengan kasih sayang dan cinta, tanpa perbezaan jantina, bangsa atau agama. Sifat kemanusiaan mengatasi segalanya,” ujarnya.

Sementara itu, penerbit Eraser, Mandy Yap, berkata, filem itu dirakam semasa kemuncak COVID-19 sehingga mereka terpaksa menghentikan penggambaran di pertengahan produksi.

“Kami perlu memastikan semua kru berada dalam keadaan sihat dan mengamalkan SOP yang ketat supaya tiada penularan wabak berlaku di set penggambaran.”

“Dan terus terang, pembikinan filem pada musim pandemik membuatkan kos bertambah, ini termasuk lima sehingga 10 peratus kos digunakan untuk memastikan keselamatan semua terjamin.

“Bagaimanapun pihak kami bersyukur kerana tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang 20 hari penggambaran dijalankan,” katanya.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor