ISKANDAR PUTERI: Jaringan Bergson Gustavo Silveira Da Silva pada minit kecederaan babak pertama perlawanan ‘membunuh’ semangat Sri Pahang FC untuk bangkit pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Ketua Jurulatih skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, beliau yakin pasukannya dapat mengubah keputusan permainan sekiranya tiada jaringan awal daripada Harimau Selatan.
“Gol tersebut agak ‘killer’ dan meruntuhkan semangat kita. Jika keputusan 0-0 pada separuh masa pertama, perlawanan pasukan pasti berubah.
“Saya ada cakap sebelum ini kita akan letak ‘treler’ (pertahanan) depan gawang pada perlawanan ini, tetapi treler kita bocor pula,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Menyifatkan pasukan kendalian Esteban Solari itu sebagai yang terbaik dalam liga, Fandi yang juga bekas pemain Pahang bagaimanapun berbangga kerana pemainnya dapat memberikan tentangan dan persembahan terbaik.
Beliau berkata hal ini kerana tiga tonggak utamanya Nor Azam Azih, Sergio Aguero dan Lucas Silva tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, selain tidak dapat mempertaruhkan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, Mohd Izham Tarmizi Roslan dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang merupakan pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sementara itu, Solari menyifatkan perlawanan bertemu Sri Pahang FC sukar, namun pemainnya mempunyai kemampuan untuk memecahkan pertahanan dirancang Tok Gajah.
“Saya setuju perlawanan ini memang sukar, kami tahu mereka akan bertahan dan kami cuba mengawal permainan. Kami lihat Sri Pahang FC juga telah melakukan beberapa percubaan tetapi pertahanan kami berjaya menghalang mereka daripada menjaringkan gol,” katanya.
Perlawanan antara kedua pasukan itu menyaksikan JDT menundukkan Sri Pahang FC 2-0 sekali gus memadam rekod tanpa kalah skuad Tok Gajah itu.
Dengan kemenangan kali ke-12 berturut-turut, JDT kekal sebagai pendahulu liga dengan 36 mata. – BERNAMA