HomeHiburanTayangan awal 'Polis Evo 3' raih kutipan RM1.3 juta!

Tayangan awal ‘Polis Evo 3’ raih kutipan RM1.3 juta!

 

CYBERJAYA: Filem Polis Evo 3 yang baru sahaja memasuki seluruh panggung di Malaysia hari ini, berjaya meraih kutipan sebanyak RM1.3 juta menerusi tayangan awal (sneak preview).

Filem arahan Syafiq Yusof terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures itu kini berada di tangga pertama di carta Top 10 GSC Malaysia sekali gus mengetepikan filem antarabangsa.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kutipan memberangsangkan itu diharap menjadi permulaan baik buat filem tersebut.

“Alhamdulillah, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton Malaysia, Singapura dan Brunei yang telah menonton filem ini.

“Kami mengharapkan berita baik ini adalah satu permulaan yang baik untuk Polis Evo 3 serta membuktikan filem tempatan masih mampu menawan hati penonton dan memberi saingan sengit buat filem antarabangsa.

“Terima kasih juga kepada rakan penerbit Skop Productions dan TGV Pictures, barisan pelakon serta semua yang berusaha keras dalam meletakkan kejayaan Polis Evo 3,” katanya dalam kenyataan media.

Polis Evo 3 menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Filem bergenre aksi itu mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Untuk rekod, filem Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23 juta.

Author

Pilihan Editor