KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menyelesaikan 1,658 kes curi kenderaan dengan penahanan 1,225 individu menerusi Op Lejang Khas 2023 yang bermula Januari hingga April lepas.
JSJ Bukit Aman dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya memaklumkan dalam tangkapan berkenaan, pihaknya turut merampas 847 buah kenderaan yang dipercayai dicuri dianggarkan bernilai RM19.8 juta dan wang tunai RM502,865.
âKesemua individu tersebut (1,225 orang) ditahan dalam 1,049 serbuan yang dilakukan pihak polis di seluruh negara.
âMenurut statistik yang dikeluarkan jabatan ini, sebanyak 6,709 kertas siasatan dibuka bagi kecurian kenderaan dan 639 kertas siasatan berjaya dituduh bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini,â menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JSJ turut menasihati orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak mempunyai sistem kamera litar tertutup dan lakukan ujian keberkesanan terhadap sistem penggera kenderaan.
âPencuri tidak akan mencuri kenderaan yang dilengkapi dengan sistem tambahan dan orang ramai juga digalakkan untuk tidak menangguhkan laporan polis sekiranya kenderaan mereka dicuri,â menurut kenyataan itu. – BERNAMA