HomeHiburanBunga Isme teruja dipilih buat persembahan pembukaan konsert Coldplay

Bunga Isme teruja dipilih buat persembahan pembukaan konsert Coldplay

 

CYBERJAYA: Penyanyi Bunga Isme meluahkan rasa syukur apabila dipilih menjadi artis pembukaan konsert Coldplay yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 November depan.

Bunga atau Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 23, berkongsi berita gembira tersebut buat peminat menerusi Instagram miliknya.

“Assalamualaikum semua, first of all Alhamdulillah atas peluang ini. Sejujurnya, ini performance event yang paling besar buat Bunga yang melibatkan puluhan ribu orang.

“Insha Allah, team Bunga dan Bunga sendiri akan buat yang terbaik, akan usaha lebih untuk yang terbaik. Doa-doakan kami ya,” katanya.

Dalam pada itu, Bunga meluahkan dia akan menyampaikan dua buah lagu pada aksi pembukaan bersama dengan kumpulan muzik pilihannya.

Bagaimanapun, Bunga memaklumkan dia masih belum membuat sebarang latihan atau persiapan bagi konsert tersebut kerana sedang sibuk dengan pengajian di universiti.

Konsert berkenaan bakal berlangsung di Stadium Nasional bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November depan dan sebanyak 85,000 tiket telah terjual habis.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor