ANKARA: Chelsea pada Ahad mengumumkan pemain pertahanan Kalidou Koulibaly meninggalkan kelab Inggeris itu selepas melengkapkan perpindahan secara tetap ke kelab Liga Profesional Saudi Al-Hilal.
Chelsea mengucapkan terima kasih kepada pemain berusia 32 tahun itu atas sumbangannya di dalam dan di luar padang sepanjang berada di Stamford Bridge selain mengucapkan selamat maju jaya pada peringkat seterusnya dalam kariernya, menurut Agensi Anadolu.
Pertahanan tengah Senegal itu tiba dari Napoli pada Julai 2022 dan menjaringkan dua gol dalam 32 penampilannya untuk The Blues.
Baru-baru ini, beberapa bintang bola sepak veteran telah berpindah ke kelab Liga Profesional Arab Saudi.
Selepas legenda Portugal, Cristiano Ronaldo menyertai Al-Nassr pada Januari, bekas rakan sepasukannya dari Real Madrid, penyerang Perancis Karim Benzema, mengumumkan menyertai sebuah lagi kelab Arab Saudi Al-Ittihad pada Jun. – BERNAMA-AGENSI ANADOLU