HomeBeritaKerajaan kaji semula skim gaji penjawat awam

Kerajaan kaji semula skim gaji penjawat awam

PRIHATIN dengan skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada di tahap yang rendah, kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula perkara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan awal mengenainya akan dibangkitkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.

Namun, Menteri Kewangan itu tidak menetapkan jangka masa khusus bagi perbincangan itu mahupun peratusan kenaikan yang dijangka diberikan.

Apatah lagi, katanya, perbincangan mengenai perkara itu masih di peringkat awal.

“Gaji penjawat awam paling akhir dinilai semula pada 2013 dan ia suatu tempoh agak lama. Maka, pandangan sudah dikemukakan kepada saya oleh Zulkapli (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed) dan Mohd Zuki (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali) untuk memulakan pasukan mengkaji dan saya bersetuju (dengan syor berkenaan).

“Kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan kelulusan dan pasukan ini boleh memulakan kerja dan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk meningkatkan (skim gaji penjawat awam).

“Keseluruhannya, upah dan gaji penjawat awam ketika ini masih ditahap rendah dan saya rasa ia wajar diberi pertimbangan walaupun (kerajaan) terikat dengan kekangan kewangan sedia ada. Sedikit perubahan ini saya rasa kita boleh cari jalan supaya dapat kita beri pertimbangan.

“Jangkaan tempoh perbincangan (bagi syor penelitian semula skim gaji penjawat awam) akan diserahkan kepada Zulkapli, manakala unjuran kenaikan pula masih terlalu awal untuk dinyatakan, tetapi ia harus ada,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, Anwar berkata, usaha menaikkan gaji kakitangan awam akan diberikan keutamaan sejurus kedudukan ekonomi negara bertambah baik dalam tempoh setahun beliau mengambil alih pentadbiran.

Pada 2013, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dilapor bersetuju memberi faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua penjawat awam.

Pemberian kenaikan antara RM80 hingga RM320 yang membabitkan perbelanjaan bernilai RM1.5 bilion itu diawalkan pada 1 Julai 2013.

Najib antara lain dipetik berkata, semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT, berkuat kuasa 1 Januari 2013.

Ia bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.

Selain itu, bagi memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi ditetapkan, jika tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat.

Author

Pilihan Editor