HomeHiburanKes saman Puteri Sarah-Ira Kazar selesai cara baik

Kes saman Puteri Sarah-Ira Kazar selesai cara baik

KUALA LUMPUR: Kes saman antara pelakon, Puteri Sarah dengan bekas madunya, Ira Kazar dan dua ahli keluarganya akhirnya selesai di Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini.

Perkara itu disahkan peguam Puteri Ummi Kartini Abd. Latif yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif ketika dihubungi selepas sebutan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Norakhmar Mohd. Sani.

Menurut Puteri Ummi pada sebutan kes hari ini, pihak-pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik diluar mahkamah yang kemudian mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan itu.

“Penghakiman persetujuan telah direkodkan di mana pihak-pihak telah menyelesaikan kes secara damai di luar Mahkamah dan kes selesai,” kata peguam itu seperti dilapor Kosmo pada Rabu.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah dengan pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian.

Dalam prosiding hari ini, Ira dan dua ahli keluarganya selaku defendan diwakili peguam Ammar Ghalip.

Pada Jun 2022, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memfailkan saman terhadap Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin atas dakwaan mengganggu rumah tangganya.

Selain itu dua ahli keluarga Ira yang turut disaman ialah kakaknya Yasmin dan bapanya Kazar atau nama penuhnya Kazaruddin Saisi.

Pada 4 Julai tahun sama, Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya Syamsul.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, Kazar.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 14 Jun lalu, Syamsul dan Puteri Sarah, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Pada tarikh sama peguam syarie yang mewakili Syamsul turut mengesahkan kesemua tuntutan termasuk isu saman antara Puteri Sarah terhadap Ira Kazar telah selesai.

Bagaimanapun maklumat terperinci mengenai isu saman Puteri Sarah dan Ira tersebut tidak boleh didedahkan.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Authors

Pilihan Editor