HomeBeritaLarangan aktiviti di surau, masjid sepanjang kempen PRN Selangor

Larangan aktiviti di surau, masjid sepanjang kempen PRN Selangor

CYBERJAYA: Setiap calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dilarang  menggunakan surau dan masjid sebagai platform untuk berkempen sepanjang tempoh 14 hari.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, larangan itu termasuk berucap, berceramah, berkhutbah, menyebarkan risalah parti, mengedar poster calon dan lambang parti di dalam ruang dan kawasan tempat beribadah tersebut.

“Arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melarang perbuata yang menggunakan masjid atau surau sebagai medan politik kepartian dan propaganda politik telah banyak kali dikeluarkan.

“Pentadbir masjid atau surau di negeri Selangor adalah diingatkan sekali lagi bahawa Sultan Selangor telah menitahkan sedemikian sejak 2008 lagi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Shahzihan berkata, ahli politik yang didapati menggunakan masjid atau surau di Selangor dengan tujuan yang tidak dibenarkan oleh Sultan Selangor dan MAIS, dianggap sebagai menghina, mengingkari dan melanggar titah Sultan Selangor dan ketetapan MAIS.

Justeru, katanya, ahli politik terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Pentadbir masjid dan surau di negeri Selangor sentiasa diingatkan untuk mematuhi dan menguatkuasakan larangan yang ditetapkan oleh MAIS untuk menjadikan masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas pengaruh politik kepartian.

“Kegagalan atau sebarang kecuaian mematuhi ketetapan MAIS, pegawai masjid boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor