HomeBeritaMungkin ada 'kacang hantu' dalam jabatan – Ahmad Zahid

Mungkin ada ‘kacang hantu’ dalam jabatan – Ahmad Zahid

 

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wujud golongan kacang hantu dalam kedua-dua jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Susulan itu, beliau bersetuju agar kedua-dua jabatan terbabit disiasat bagi mengelakkan pertuduhan secara rambang.

“Jika ianya benar (rasuah), itu mesti diperbaiki, jika ianya tidak benar, mesti dilakukan pencerahan. Kita tidak wajar melakukan tuduhan secara rambang dan dalam perkara ini yang penting adalah keberkesanan terhadap langkah-langkah dilakukan oleh kedua-dua jabatan berkenaan.

“Ini kerana mungkin ada kacang-kacang hantu, ia memang wujud dan sentiasa wujud. Oleh sebab itu, kacang hantu ini yang merosakkan susu sebelanga dan ia harus dibanteras,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di Putrajaya, pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Perdana Menteri semalam bahawa dua jabatan di bawah KDN iaitu JIM dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Authors

Pilihan Editor