HomeBeritaPRN di 6 negeri dijangka telan belanja RM420 juta

PRN di 6 negeri dijangka telan belanja RM420 juta

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan sebanyak RM420 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, peruntukan itu melibatkan sebanyak 3,450 buah pusat mengundi, manakala seramai 153,760 petugas bakal dilantik bagi mengendalikan PRN kali ini.

“Manakala, sebanyak 3,190 buah pusat mengundi biasa mengandungi 17,048 saluran dan 260 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal turut digunakan.

“Selain itu, sebanyak 173 Pusat Penamaaan Calon (PPC) dan 186 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) juga bakal digunakan,” katanya pada sidang akhbar khas di sini pada Rabu.

Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRN yang melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Hari pengundian bagi pelaksanaan PRN di enam negeri berkenaan adalah pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.

Pengundi boleh membuat semakan pengundian bagi mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan masing-masing bermula 17 Julai ini.

Semakan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan http://mysprsemak.spr.gov.my atau hotline SPR di talian 03-88927018/7218/7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Author

Pilihan Editor