HomeHiburanRosyam Nor anjur pertandingan azan, hadiah bernilai RM110,000 & pakej umrah

Rosyam Nor anjur pertandingan azan, hadiah bernilai RM110,000 & pakej umrah

CYBERJAYA: Pelakon versatile, Datuk Rosyam Nor bakal menganjurkan pertandingan azan secara dalam talian dengan hadiah bernilai RM110,000.

Malah, menerusi program Muazin terbitan syarikat miliknya, Suhan Channel di YouTube itu peserta turut berpeluang memenangi pakej mengerjakan umrah.

Menurut Rosyam, 56, inisiatif yang julung kali diadakan secara maya itu adalah bagi meraikan keindahan, kesenian dan kepentingan azan selaku panggilan mengerjakan solat.

“Saluran YouTube Suhan Channel berbesar hati berpeluang menyemarakkan keindahan laungan azan menerusi pertandingan yang dibuka kepada ramai secara online.

“Ini juga peluang kepada masyarakat melihat peserta menggunakan kaedah berbeza dalam mengalunkan suara mereka menyampaikan azan.

“Jadi saya mempelawa semua umat Islam yang gemar menggunakan sosial media untuk menyahut cabaran ini, sekali gus menonjolkan bakat kecemerlangan azan anda,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Tambah Rosyam, pertandingan diadakan menerusi platform media sosial itu menyaksikan peserta perlu memuat naik video laungan azan dalam TikTok, Facebook atau Instagram.

Penyertaan Muazin bermula dari 7 hingga 26 Julai ini dengan menawarkan hadiah berjumlah RM110,000 berupa wang tunai, trofi, pakej mengerjakan umrah, hamper dan sejadah.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak, manakala prestasi dinilai berdasarkan kualiti suara, ketepatan nada, ekspresi, emosi dan keseluruhan persembahan.

Barisan panel juri pula terdiri daripada ustaz bertauliah dalam bidang taranum dan tajwid seperti Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad dan Ustaz Amir Rahman Abas.

Bagi mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan menerusi www.suhanchannel.com.

Author

Pilihan Editor