HomeBeritaSanusi dakwa kenyataan diputar belit, mohon ampun kepada Sultan Selangor

Sanusi dakwa kenyataan diputar belit, mohon ampun kepada Sultan Selangor

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan konteks dan maksud sebenar ucapannya yang didakwa sengaja diputar belit.

Sanusi dalam kenyataan di akaun Facebooknya hari ini berkata, warkah tersebut diutuskan selepas mengetahui ucapannya telah diputar belit bagi menimbulkan kefahaman yang salah oleh ejen-ejen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

“Selanjutnya saya mendoakan agar Tuanku Sultan dan Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah itu semalam.

Muhammad Sanusi juga berkata, beliau telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman pada pukul 2 pagi, pada Jumaat.

“Ia untuk melengkapkan siasatan mereka ke atas laporan-laporan yang telah dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR dan lain-lain.

“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya, menangguklah di ketika itu,” katanya.

Semalam, Ahli Dewan DiRaja Selangor membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi dan menuntut beliau segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu itu.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah yang mempertikai serta melanggar larangan menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor selain meremehkan pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Author

Pilihan Editor