HomeSukanFandi bimbang Mat Yo mengganas di Darul Makmur

Fandi bimbang Mat Yo mengganas di Darul Makmur

KUANTAN: Sri Pahang FC perlu merantai Norshahrul Idlan Talaha jika tidak mahu berputih mata apabila menentang Harini Selangor FT pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad mengakui bekas penyerang kebangsaan itu mampu memberikan ancaman seperti yang dibuktikan pada aksi pusingan pertama.

Katanya, biarpun pada perlawanan pertama Norshahrul atau Mat Yo beraksi pada babak kedua, penyerang veteran itu berjaya menjaringkan gol.

“Saya harap pemain kekal fokus dan memanfaatkan segala peluang yang ada untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Sri Pahang.

“Pada masa sama, pemain lain juga perlu dikawal kerana Harini Selangor dibarisi pemain berpengalaman,” katanya.

Pada aksi pusingan pertama, Harini FT berjaya bangkit dan memberi tentangan kepada Pahang sebelum tewas 2-3.

“Saya akui kelebihan satu gol yang dimiliki pasukan bukan jaminan kerana Harini Selangor sudah pasti mahu mencatat keputusan terbaik dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Sebagai pasukan yang berada di liga atas (Liga Super), pasukan seperti Harini Selangor yang beraksi di Liga M3 akan berusaha untuk melakar kemenangan.

“Mereka akan mempamerkan prestasi terbaik mereka seperti yang dipersembahkan apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 selepas ketinggalan 0-2.

“Kesilapan pemain yang memberi ruang dan berasa selesa menyebabkan Sri Pahang hanya memiliki kelebihan satu gol dan perlu tampil dengan prestasi terbaik di halaman sendiri, ” kata legenda bola sepak Singapura itu.

 

Author

Pilihan Editor