HomeGaya Hidup'Festival Hantu Lapar' - Bulan suci penganut Buddha, Taoism bersedekah

‘Festival Hantu Lapar’ – Bulan suci penganut Buddha, Taoism bersedekah

TAHUKAH anda mengenai ‘Festival Hantu Lapar’ atau lebih dikenali ‘Bulan Hantu’?

Festival Hantu Lapar adalah upacara yang disambut pada bulan ke-7 mengikut kalendar Lunar.

Festival ini disambut oleh kaum Cina beragama Buddha dan Taois yang percaya bahawa roh nenek moyang mahupun saudara mara terdekat akan kembali ke dunia manusia untuk menuntut “hak-hak” mereka.

Malah, ada juga roh atau hantu yang tidak tenang berkeliaran di dunia manusia di mana mereka tiada waris yang boleh menghidang dan memberi makan kepada mereka sepanjang bulan itu.

Susulan itu, waris yang hidup akan berusaha untuk menenangkan hantu-hantu ini dengan mempersembahkan makanan dan keperluan harian kepada roh nenek moyang mereka terutamanya pada hari ke-15 bulan tujuh dalam kalendar Lunar.

Selain itu, makanan dan keperluan harian turut di sedekahkan kepada hantu-hantu yang diabaikan oleh waris mereka yang hidup ataupun yang tiada pewaris bagi mengelakkan hantu berkenaan mengganggu kehidupan mereka yang hidup.

Makanan berupa manisan dan buah serta air dihidangkan buat roh yang berkeliaran.

Festival Hantu Lapar yang turut dikenali sebagai ‘Yu Lan Pen Jie’ atau ‘Zhong Yuan Jie’ menyaksikan penganut agama Buddah dan Taois percaya ketika ini, pintu neraka atau gates of hell telah dibuka dan hantu-hantu lapar dibenarkan untuk merayau dengan bebas.

Antara perkara yang dilaksanakan penganut agama Buddha dan Taoism adalah sesi penyediaan makanan, membakar colok untuk menjemput hantu-hantu lapar ini menjamah makanan serta membakar sejenis kertas dikenali ‘kertas joss’* sebagai wang buat hantu-hantu berkenaan menggunakannya di alam mereka.

Seorang penganut Buddha dikenali Mike menyatakan, bulan hantu merupakan perayaan suci untuk mereka berhubung semula dengan orang yang telah tiada.

Tambah Mike, bagi mereka yang mempunyai perniagaan juga sebaiknya melaksanakan perkara di atas supaya perniagaan mereka berjalan lancar.

“Selalunya orang yang buat business (bagi penganut Buddha), akan sembahyang. Bakar wang, kasi makan pada hantu.

“Sebab kebanyakan hantu lapar ini dalam golongan yang tidak terjaga, jadi bila kita kasi makan in return, mereka tak akan kacau business kita,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Selain daripada di kawasan sekitar rumah dan kawasan perniagaan, ada juga sebilangan penganut Buddha dan Tao yang mengadakan upacara sembahyan khas dan membuat penyembahan makanan seperti kuih-muih dan buah-buahan di tepi jalan raya.

Berdasarkan hasil pembacaan penulis berkaitan bulan hantu, upacara itu dibuat bagi memastikan roh hantu yang sesat tidak mengganggu ketenteraman kawasan-kawasan tertentu terutama tempat yang dikatakan ‘keras’ ataupun si mati itu meninggal di sekitar berkenaan.

Malah, penganut Buddha dan Tao amat digalakkan membuat upacara sembahyang khas itu pada Bulan Hantu kerana mereka percaya bahawa penyembahan itu dikira sebagai amalan bersedekah.

*Kertas joss – dipanggil sebagai duit hantu, ia membenarkan orang-orang yang dah mati untuk mendapat bantuan kewangan dari orang yang masih hidup. Ada juga yang akan membakar barang-barang mewah untuk dijadikan pemberikan kepada hantu-hantu lapar ini.

Nak tahu pantang larang yang kaum Cina tak boleh lakukan pada Bulan Hantu? Klik pautan dibawah:

11 pantang larang wajib kaum Cina patuhi pada Bulan Hantu

Author

Pilihan Editor