HomeBeritaGuru wanita meninggal dunia sendirian di rumah

Guru wanita meninggal dunia sendirian di rumah

 

GUA MUSANG: Seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia akibat jangkitan kuman di rumahnya di kuarters guru sebuah sekolah menengah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.40 pagi, rakan wanita itu menemui mangsa berusia 43 tahun yang tinggal sendirian dan belum berkahwin dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang tinggal di tingkat empat kuarters guru mula mengajar di sekolah berkenaan pada Januari tahun lalu.

Menurutnya, kejadian disedari apabila seorang guru pergi ke rumah mangsa kerana dia tidak hadir bertugas.

“Apabila sampai di rumah mangsa, pengadu mengetuk pintu dan memberi salam, namun tiada jawapan.

“Pengadu meminta bantuan daripada seorang lagi guru wanita untuk membuka pintu rumah mangsa dengan kunci pendua.

“Selepas berjaya membuka pintu rumah, mereka mendapati mangsa tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang di ruang tamu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Punca kematian mangsa disebabkan ‘Sepsis Secondary to Necrotizing Fascilitis’ atau jangkitan kuman yang teruk.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – Harian Metro

 

Author

Pilihan Editor