HomeBeritaViralKasut kulit babi: New Balance hentikan penjualan

Kasut kulit babi: New Balance hentikan penjualan

CYBERJAYA: New Balance Malaysia memutuskan untuk menarik balik dan menghentikan penjualan salah satu kasutnya yang dipercayai mempunyai bahan dari kulit babi buat sementara waktu.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, syarikat kasut dan pakaian sukan antarabangsa itu memaklumkan pihaknya telah menyiasat secara menyeluruh bahan kasut bernombor U990TA4 itu selepas menerima beberapa pertanyaan berhubung bahan yang digunakan.

“Ketepatan dan ketelusan adalah penting di New Balance dan kami memohon maaf kepada mana-mana pelanggan yang menerima maklumat tidak tepat daripada pasukan kami,” katanya.

Sementara itu, syarikat tersebut akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kelemahan komunikasi dan komited untuk menyediakan penyelesaian yang memuaskan untuk pengguna yang terjejas.

Sehubungan itu, pelanggan yang telah membeli kasut U990TA4 daripada New Balance Malaysia, Crossover dan ATMOS KL, sama ada di kedai atau melalui laman web berhak mendapat pertukaran produk atau bayaran balik penuh di mana-mana cawangan New Balance di Malaysia.

Pertukaran produk atau bayaran balik penuh ini berkuat kuasa serta-merta dan sah sehingga tiga bulan.

Dalam pada itu, pihaknya turut memaklumkan kepada rakan kongsi dan pengedar untuk menghentikan jualan buat sementara waktu sehingga pelabelan dikemas kini.

Author

Pilihan Editor