HomeBeritaKes batuk kokol disahkan di Rompin

Kes batuk kokol disahkan di Rompin

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) mengesahkan satu kes jangkitan Pertussis (batuk kokol) dikesan di Kampung Bahagia, Rompin.

Pengarah JKNP, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin melaporkan kes berkenaan baru-baru ini, membabitkan satu keluarga iaitu seorang ibu serta dua anaknya, dan keadaan adalah terkawal.

Semua pesakit warga Malaysia itu telah diberi rawatan, dan berada dalam keadaan stabil, manakala PKD Rompin telah meningkatkan aktiviti pencegahan serta kawalan di persekitaran kawasan tempat tinggal pesakit.

“Aktiviti pendidikan kesihatan melalui ceramah, edaran risalah dan informasi di media sosial juga telah dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi mengulas penyebaran salinan surat makluman mengenai pengisytiharan wabak Pertussis di Rompin bertarikh 14 Ogos lalu, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak.

“Ia boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi yang diberi kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima, dan 18 bulan, dan kanak-kanak yang mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, JKNP akan terus memantau kejadian dan meningkatkan aktiviti pencegahan serta kawalan bagi memastikan penularan tidak berlaku.

Author

Pilihan Editor