HomeBeritaLebih 100,000 pengunjung meriahkan sambutan merdeka di Putrajaya

Lebih 100,000 pengunjung meriahkan sambutan merdeka di Putrajaya

PUTRAJAYA: Lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 anjuran Kerajaan Perpaduan di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sebilangan pengunjung mulai berkumpul selepas waktu Maghrib semalam kerana teruja untuk menyaksikan acara gilang-gemilang itu.

“Ada yang datang dari Kedah, Perak dan jauh lagi untuk melihat sendiri sambutan besar-besaran ini. Ini merupakan sambutan Hari Kebangsaan pertama kami dengan pasukan yang bertungkus-lumus sejak bulan Februari,” katanya pada sidang media selepas sambutan itu di Pusat Media di sini pada Khamis.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyumbangkan tenaga dan idea dalam menjayakan perarakan sambutan bersejarah berkenaan.

Dalam pada itu, Fahmi turut menghargai tindakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyantuni rakyat sebaik sahaja acara sambutan selesai.

“Saya bersama pihak urusetia menjunjung kasih ke atas Seri Paduka Baginda berdua kerana mencemar duli bertemu rakyat selepas acara sambutan walaupun tiada dalam senarai (atur cara),” kata beliau.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dalam aksi spontan, luar daripada kebiasaan dan protokol, meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra, bersalaman serta mengambil swafoto dengan peserta perarakan dan pengunjung.

Author

Pilihan Editor