HomeBeritaPolitikLepas mohon maaf, PAS Pulau Pinang syor Dominic berkempen sendiri

Lepas mohon maaf, PAS Pulau Pinang syor Dominic berkempen sendiri

KUALA LUMPUR: Walaupun PAS sudah memohon maaf atas insiden membabitkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang didakwa ‘dihalau’ ketika ceramah Perikatan Nasional (PN) Selasa lalu, isu antara kedua-dua pihak dilihat belum tamat.

Ia susulan kenyataan terbaharu PAS Pulau Pinang yang meminta Dominic menggunakan jentera kempen beliau sendiri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas yang mana beliau adalah calon di kerusi itu.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, tidak timbul isu PAS memboikot Dominic, sebaliknya mereka tidak mempunyai ahli mencukupi untuk membantu calon PN itu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Muhammad Fauzi berkata, ketika ini masing-masing perlu membawa jentera masing-masing untuk berkempen.

“Kita pun tidak cukup (jentera), malah jentera kita sebenarnya ada kawasan yang kena bantu juga, jadi siapa yang bertanding, dia kena ketuai jentera di situ dan bawa jentera masing-masing,” katanya.

Muhammad Fauzi berkata demikian sebagai mengulas dakwaan jentera PAS yang dikatakan tidak turun bersama membantu Dominic di Bayan Lepas.

Laporan itu turut menjelaskan, Muhammad Fauzi berkata, pihaknya akur dengan arahan PAS Pusat supaya menjernihkan semula hubungan dengan Dominic selepas insiden di Sungai Dua, Selasa lalu.

“Kita akan berusaha untuk murnikan keadaan (hubungan PAS dengan Dominic), kita kena berjumpa dan usahakan dengan cara cermat.

Selasa lalu, Dominic diminta meninggalkan ceramah PN di Sungai Dua kerana hadir tanpa diundang.

Dominic yang pencalonannya di Bayan Lepas dikatakan mengecewakan akar umbi PAS di kerusi majoriti Melayu itu, cuba tidak memperbesarkan insiden itu dengan mendakwa ia “tidak benar” pada mulanya.

Tetapi, rakaman video Malaysiakini menunjukkan Dominic dihalang seorang pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti Naib Presidennya, Idris Ahmad ke atas pentas. Pemimpin PAS itu didengar memberitahu Dominic: “Tak boleh (ikut). You go away.”

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada Dominic dan berkata kehadiran Presiden Gerakan itu perlu “dihargai sebagai tetamu”.

 

Author

Pilihan Editor