HomeBeritaPolitikLoke akui hilang hormat terhadap Ramasamy

Loke akui hilang hormat terhadap Ramasamy

CYBERJAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengakui bahawa beliau sudah hilang rasa hormat terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Perkara itu dibangkitkan susulan dakwaan Ramasamy yang menganggap Loke seolah-olah tiada budi bahasa, berhubung keputusan tidak menamakan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ramasamy kononnya saya tidak ada ‘courtesy‘.

“Saya berasa amat kesal dengan tindakan beliau yang sanggup membohong dalam perkara ini. Pembohongan ini menghilangkan semua rasa hormat saya kepada beliau sebagai bekas pensyarah saya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam sidang media pada Khamis, Ramasamy mengumumkan keluar dari DAP bersama tiga individu lain.

Ramasamy mendakwa, namanya digugurkan daripada menjadi calon PRN sebagai satu cara penyingkiran politik.

Katanya, pengguguran namanya bukanlah satu isu sebaliknya cara beliau dan calon lain digugurkan.

Ujarnya, ia adalah satu penyingkiran tanpa penghargaan kepada khidmat beliau dan beberapa individu lain dalam parti tersebut.

Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau bersama Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming sudah pun melakukan pertemuan secara bersemuka dengan setiap penyandang DUN yang tidak dicalonkan semula dalam PRN pada 25 Julai lalu.

Beliau berkata, pertemuan itu dilakukan sebelum Majlis Pengumuman Calon DAP pada tarikh sama.

Katanya lagi, pertemuan tersebut berlangsung di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang dan turut disertai Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Kor Ming, Yeow dan saya menemui setiap penyandang yang tidak dicalonkan secara berasingan dan saya sendiri memaklumkan keputusan parti kepada mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk memberi pandangan balas.

“Sesi tersebut berlangsung selama lebih satu jam dan menyebabkan saya terlewat dalam majlis pengumuman calon.

“Saya mengulangi bahawa sesiapa sahaja yang meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya adalah orang yang tidak ikhlas dan setia kepada perjuangan parti. Mereka hanya menunggang parti demi kedudukan dan jawatan. Apabila tiada lagi jawatan, parti ditinggalkan,” tegasnya.

 

Author

Pilihan Editor