HomeBeritaPolitikMUDA cadang hapus sistem pencen ahli politik

MUDA cadang hapus sistem pencen ahli politik

CYBERJAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memberi cadangan untuk menghapuskan sistem pencen bagi semua ahli politik di negara ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menganggap bahawa penerimaan pencen bagi ahli politik adalah tidak adil berbanding penjawat awam.

Beliau berkata, penjawat awam sedia ada perlu bekerja lebih 30 tahun untuk melayakkan diri memiliki wang persaraan.

Sedangkan, katanya, ahli politik yang baru sahaja bekerja dengan mudahnya layak memperolehi pencen seumur hidup.

“Sudahlah baru masuk pejabat, terus layak dapat pencen,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebook.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, ahli politik bukan sahaja menerima pencen sebagai menteri, malah turut menerima pelbagai pencen lain.

Beliau berkata, ini termasuk ada di antara mereka yang menerima pencen sebagai ahli parlimen, menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan speaker.

“Siap ada jawatan bertimbun-timbun syarikat milik kerajaan (GLC) serta agensi yang berlainan.

“Lihat saja gaji dan elaun menteri besar boleh mencecah RM180,000 sebulan, ini belum lagi campur kalau ada ahli parlimen, jawatan-jawatan GLC di peringkat negeri dan dekat peringkat persekutuan,” katanya.

Jelasnya lagi, pengiraan pencen bagi ahli politik juga berbeza dengan penjawat awam.

“Kiraan pencen bagi ahli politik agak unik, saya baru masuk pejabat sebagai menteri, tetapi jumlah pencen bukan berdasarkan berapa lama saya berkhidmat sebagai menteri tetapi berapa lama saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

“Lagi lama saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, lagi tinggi pencen menteri saya,” katanya.

Tambahnya, kelebihan pencen tersebut menyebabkan terdapat ahli politik yang tidak mahu melepaskan jawatannya.

“Sebab itu banyak ahli politik tua tak nak lepaskan jawatan. Bergaduh-gaduh dengan pimpinan anak muda mereka kerana lagi lama mereka berkhidmat sebagai ahli parlimen lagi tinggi jumlah pencen ahli parlimen dan pencen menteri,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor