HomeBeritaNahas Elmina: Polis sah identiti semua mangsa

Nahas Elmina: Polis sah identiti semua mangsa

KLANG: Polis mengesahkan kesemua 10 identiti mangsa yang terlibat dalam tragedi sebuah pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu selepas proses forensik dan pengecaman selesai pada tengah malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses pengecaman kira-kira 200 cebisan anggota badan dikenalpasti melalui cap jari, pengesanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan odontologi (pergigian).

Menurutnya, proses pengecaman tersebut dilakukan oleh Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Jabatan Kimia Malaysia.

“Polis bersama pihak hospital dan Jabatan Kimia Malaysia selesai proses bedah siasat dan ujian DNA, kita pun terima hampir kesemua sampel dihantar sebelum ini dan putuskan semalam malam (malam tadi) yang semua mangsa terlibat dalam nahas sudah dikenal pasti dan bersedia untuk diserahkan kepada wakil keluarga pada pagi ini.

“Kedua, saya juga mengesahkan tiada lagi mana-mana individu terlibat dan terkorban dalam nahas tersebut, hanya 10 orang sahaja. Lapan daripada mereka ada dalam pesawat, dua di atas jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau menambah, jenazah boleh dituntut oleh waris dan pengurusannya dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Al-Rahimiah tidak jauh dari HTAR.

Khamis lalu, sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.

Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan polis menerima keterangan daripada orang awam terutama pemilik rakaman video daripada kamera papan pemuka (dash cam) yang merakam insiden sama adan melalui Persiaran Elmina atau Lebuhraya Koridor Guthrie.

“Ada beberapa yang dash cam owner yang tampil dan memberi keterangan. Saya minta kalau ada saksi-saksi yang hendak beri keterangan, kita boleh menguatkan dan melengkapkan siasatan

“Dalam kesempatan ini juga, kami semua petugas mengucapkan takziah kepada waris-waris mangsa yang terlibat dalam nahas,” ujarnya.

Katanya lagi, polis menjalankan siasatan dan mengklasifikasikan status mangsa yang terkorban sebagai kematian mengejut, sementara siasatan lanjut pula akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU). – UTUSAN

Authors

Pilihan Editor