HomeBeritaPolitikPAS minta maaf, tak restu insiden Dominic 'diminta keluar' di Tasek Gelugor

PAS minta maaf, tak restu insiden Dominic ‘diminta keluar’ di Tasek Gelugor

 

CYBERJAYA: PAS merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden yang melibatkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang tidak dialukan-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang turut dihadiri Presiden PAS baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walau Dominic menolak dakwaan beliau ‘diminta keluar’ dari majlis itu, pihak kepimpinan PAS Pusat percaya beliau perlu diterima sebagai tetamu.

Menurutnya, pemilihan Dominic sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dibuat atas persetujuan kepemimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan, maka semua ahli dan penyokong perlu menerimanya dengan hati terbuka.

Beliau berkata, PAS amat sedar sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan bagi DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu.

“Namun PAS percaya apabila keputusan mengenainya dibuat dengan persetujuan kepemimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan, maka ahli dan penyokong perlu menerimanya secara terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti diketuai Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri.

“Saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Presiden PAS sendiri,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS seperti parti lain juga amat sedar dan maklum bahawa politik gabungan cenderung untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, kecewa dan sebagainya, terutamanya dalam isu berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon bagi sesuatu kerusi DUN mahupun Parlimen.

Menurutnya, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam tertua dan besar, PAS percaya menjadi bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak yang memerlukannya.

“PAS berharap dan menggesa semua ahli dan penyokong parti itu dan PN supaya memberi tumpuan kepada PRN yang sedang kita hadapi, sekali gus mengetepikan sementara perkara lebih kecil yang boleh melemahkan usaha bersama untuk mencapai kejayaan yang akan membolehkan kita meraih kejayaan lebih besar dan bermakna.

“Sewaktu negara dan nusa memerlukan kita berbakti kepadanya, sewajarnya dengan tulus dan bertanggungjawab, kita menyahut seruan itu dalam kerangka satu suara dan satu tekad yang sebaik-baiknya,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor