HomeBeritaPeniaga kecil merungut minyak peket kurang

Peniaga kecil merungut minyak peket kurang

 

JOHOR BAHRU: Masalah bekalan minyak masak peket di daerah ini terus membelenggu bukan sahaja pengguna, malah peniaga kecil sehingga menyebabkan perniagaan mereka terjejas ekoran kos operasi tinggi.

Seorang peniaga makanan, Anita Akitat, 46, memberitahu, dia memerlukan antara 35 hingga 40 kilogram (kg) minyak masak seminggu dan terpaksa mencari bekalan di lima hingga enam buah kedai demi memenuhi tuntutan perniagaan.

Bagaimanapun katanya, usaha itu adakalanya tidak membuahkan hasil apabila kebanyakan kedai mencatu penjualan dengan seorang hanya boleh membeli antara dua hingga tiga peket.

“Berikutan itu saya terpaksa menggunakan minyak botol dan sudah tentu kos operasi me­ningkat, namun harga jualan makanan kekal sama. Ini bermakna keuntungan dalam perniagaan semakin berkurangan.

“Bayangkan sekiranya berniaga selama seminggu, bekalan minyak masak peket hanya mencukupi untuk sehari setengah sahaja, hari-hari lain terpaksa guna minyak masak botol,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Anita yang telah kira-kira 10 tahun berniaga berharap pihak berkuasa dapat memastikan bekalan minyak masak peket kembali mudah diperoleh.

Peniaga makanan lain, Roslan Adan, 60, memberitahu, kesukaran mendapatkan bekalan menyebabkan dia terpaksa menggunakan minyak masak botol lima kilogram setiap hari.

“Saya masak roti canai, sudah tentu banyak minyak. Memang susah nak jumpa minyak masak peket sekarang, kalau jumpa pun cuma dapat beberapa sahaja dan ia tidak mencukupi untuk kegunaan harian.

“Demi kelangsungan, saya terpaksa membeli minyak botol untuk dibuat berniaga, walaupun keuntungan kurang tetapi apakan daya,” ujarnya.

Tinjauan di beberapa premis perniagaan sekitar bandar raya ini mendapati bekalan minyak botol memenuhi rak, namun penjualan minyak peket terhad kepada dua peket setiap keluarga. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor