HomeSukanSeri 3-3 dengan JDT, TMJ harap Kedah ke Asia

Seri 3-3 dengan JDT, TMJ harap Kedah ke Asia

KEPUTUSAN seri 3-3 ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC ternyata tidak menggugat kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT), sebaliknya skuad Hijau Kuning memperoleh tonik tambahan daripada pihak lawan.

Menerusi satu komen di laman Instagram KDA FC, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap agar skuad kendalian Nafuzi Zain itu dapat terus melakar keputusan konsisten dalam mengharungi baki saingan musim ini.

“Mudah-mudahan ke Asia. Semoga menang beberapa baki game (perlawanan) liga,” kata Tunku Ismail.

Tangkap layar hantaran komen TMJ di Instagram KDA FC.

Terdahulu, pada aksi di Stadium Darul Aman dekat Alor Setar, Kedah, skuad Kenari menangguhkan pesta kejuaraan JDT apabila mengikat lawan itu 3-3.

Malah, Kedah berjaya mendahului pasukan kendalian Esteban Solari 2-0.

Namun skuad Harimau Selatan ‘garang’ apabila bangkit meledak tiga gol dalam tempoh 22 minit untuk mendahului 3-2, sebelum dikecewakan dengan jaringan penyamaan lewat permainan Amirbek Juraboev.

Ketika ini, Kedah ketinggalan lima mata di belakang Selangor FC (SFC) di tempat kedua, namun mereka memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Namun, skuad The Red Giants ada kelebihan jaringan yang lebih besar iaitu 39 berbanding Kedah dengan 17.

Untuk rekod, kejayaan JDT memenangi Piala FA menyaksikan satu lagi slot ke pertandingan Asia pada musim depan akan diisi naib juara Liga Super musim ini.

Author

Pilihan Editor