HomeBeritaMahkamah & JenayahGeng merusuh guna parang, kayu kena dakwa beramai-ramai

Geng merusuh guna parang, kayu kena dakwa beramai-ramai

 

MELAKA: Seramai sembilan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan menggunakan senjata termasuk parang sehingga mendatangkan cedera parah di sebuah taman perumahan di daerah Jasin, dua minggu lalu.

Tertuduh, P. Kogilanathan, 24, A. Loges, 30. V. Megan, 26, R. Thiven, 26, D.Mahendran, 43, P.Thanabalan, 33, N.Murthy, 37, D.Thivendran, 33, dan M. Kugan, 28, bagaimanapun tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah merusuh menggunakan senjata parang, besi dan kayu hingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan badan.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 12.33 tengah malam di persimpangan Taman Ayer Merbau, Jasin pada 11 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Tertuduh Kogilanathan bagaimanapun turut berdepan dengan dua pertuduhan lain atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap Mahendran serta Murthy dengan menggunakan sebilah parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian di tempat, masa dan tarikh sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh dan RM25,000 bagi setiap pertuduhan tambahan terhadap Kogilanathan.

Kesemua tertuduh diwakili Peguam Jason Anthony Ignasius, V. Segaran dan S. Amritpal Singh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guam mereka hanya berkerja sebagai pemandu lori dan pembantu kedai runcit, selain perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Elesabet membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap tertuduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan RM12,000 bagi dua pertuduhan Seksyen 326 Kanun Keseksaan terhadap Kogilanathan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 7 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor