CYBERJAYA: Sehingga hari ini, media sosial kecoh dengan kenyataan ‘isteri pertama untuk dihargai dan isteri kedua untuk dicintai’ yang dikeluarkan oleh seorang pempengaruh yang berkahwin dua dikenali Abang Tesla.
Kenyataannya itu turut menarik perhatian pendakwah bebas yang juga penceramah motivasi, Ustaz Syamsul Debat.
Menerusi rakaman video Live TikTok tular yang dikongsi pengguna Twitter, beliau menegur pempengaruh berkenaan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu poligami.
“Minggu ni teruk betul orang lelaki kena balun, macam hilang nilai kemerdekaan. Ini semua Abang Tesla punya pasal.
“Saya nak pesan, orang yang dah berpoligami. Kalau rasa-rasa diri kita ni bukanlah bagus sangat, ada kelemahan, tak usah share dengan orang lain. Lepas tu kau keluar statement pula nak mengajar orang lain.
“Adil dalam Islam ini bukan ikut selera dan nafsu, tak. Adil dalam Islam adalah meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya. Itu kena faham.
“Lagi cakap, lagi bangang tau? Lepas tu yang bertanya soalan pun tak kena, yang menjawab soalan pun tak kena, yang memberi pandangan pun tak kena. Tak usah, jangan,” katanya.
Sementara itu, Syamsul turut mengingatkan bahawa hati isteri perlu dijaga dan jangan sesuka hati mengeluarkan kenyataan kononnya isteri pertama perlu dihargai manakala isteri kedua untuk dicintai.
“Isteri pertama untuk dihargai dan isteri kedua untuk dicintai? Tak kecil ke hati isteri pertama? Tak berhak ke dia untuk dicintai, hanya untuk dihargai saja? Susah senang sama-sama, habis yang isteri nombor dua tu pun dicintai, jangan kau hargai, kau cinta je.
“Habis isteri yang nombor tiga? Kecil hati tak yang nombor tiga? Isteri ketiga untuk diapa-apakan?.
“Itulah sebab jangan keluar statement kalau rasa-rasa diri anda tu tak mempunyai cukup authority untuk bercerita. Fikir dulu sebelum bercakap,” ulasnya.
Terdahulu video yang dimuat naik di TikTok Abang Tesla telah mencetuskan sensasi apabila lelaki tersebut mempamerkan aksinya bersama isteri pertama solat Subuh dan menangis tiga jam sebelum berpoligami.
Untuk rekod, perkahwinannya dengan isteri pertama, Nurmajdina Jamari sudah memasuki usia lima tahun perkahwinan namun masih belum dikurniakan zuriat.