HomeGlobalLalu lintas sesak teruk selepas festival muzik di padang pasir

Lalu lintas sesak teruk selepas festival muzik di padang pasir

ORANG ramai yang menghadiri festival muzik dan budaya di Gurun Black Rock, dekat Nevada, Amerika Syarikat (AS) mula meninggalkan lokasi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk pada Isnin.

Rakaman dron memaparkan, ribuan kenderaan beratur panjang di padang pasir bermula dari tapak festival Burning Man yang berlangsung selama sembilan hari sejak 27 Ogos lalu.

Kesesakan lalu lintas itu berlaku selepas peserta diminta untuk tidak meneruskan perjalanan seketika, berikutan hujan lebat berterusan melanda kawasan tersebut sejak Ahad.

Ribuan peserta membanjiri festival itu dengan tidak mengendahkan hujan lebat, seterusnya menyaksikan padang pasir Nevada menjadi lautan lumpur melekit.

Acara akhir iaitu upacara pembakaran patung ditunda ke petang Isnin.

Seorang penari dan peserta acara itu, Martyna Sowa berkata, dia terkejut dengan keadaan festival yang disifatkan sebagai teruk.

“Ini adalah pengalaman yang sangat pelik.

“Kami pada asalnya diberitahu bahawa kami tidak akan dapat beredar sehingga Selasa tetapi orang ramai benar-benar nekad untuk keluar dari kawasan itu,” katanya seperti dilapor NDTV.

https://twitter.com/matttttt187/status/1699049632460882162?s=20

Setiap tahun, Burning Man disertai oleh ribuan orang di padang pasir Nevada untuk menari dan mempersembahkan budaya seni.

Festival itu pada mulanya diwujudkan sebagai perhimpunan kecil di pantai San Fransisco pada 1986.

Tiket festival itu bermula dengan harga AS$575 (RM2,687) dan turut dihadiri oleh selebriti dan pempengaruh media sosial.

Author

Pilihan Editor