HomeBeritaPemandu rentung kereta terjunam di lereng bukit

Pemandu rentung kereta terjunam di lereng bukit

 

JELEBU: Seorang pemandu kereta maut selepas terlibat nahas dengan lori apabila kedua-dua kenderaan tersebut jatuh ke lereng bukit berketinggian enam meter dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Klawang berhampiran Jeram Toi, di sini pagi Selasa.

Komander Operasi, Penguasa Bomba (PgB), Yusri Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 9.26 pagi membabitkan kemalangan sebuah kereta jenis Proton Persona dan sebuah lori.

Kata beliau, berdasarkan maklumat awal, lori tersebut dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Jelebu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas semasa menuruni bukit berhampiran Jeram Toi.

“Lori terbabit kemudiannya melanggar kereta menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan jatuh di lereng bukit dengan ketinggian kira-kira enam meter.

“Akibat pelanggaran tersebut, kereta tersebut terbakar 100 peratus manakala pemandu lori cedera parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Jelebu.

“Pemandu kereta meninggal dunia di dalam kenderaan yang terbakar dan pasukan penyelamat telah mengeluarkan mayat mangsa kira-kira jam 12.04 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Jelebu, Asisten Superintenden Goh Kay Lun ketika dihubungi berkata, identiti mangsa kemalangan yang rentung itu sedang dikenal pasti.

“Pihak polis akan menyemak nombor casis kenderaan yang terbakar tersebut bagi mengenal pasti pemilik kenderaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ujar beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jelebu bagi proses bedah siasat. – Sinar Harian

Author

Pilihan Editor