HomeBeritaMahkamah & JenayahMahkamah batal kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman

Mahkamah batal kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini, membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos sebanyak RM30,000 kepada pihak pempestiyen.

Pempestisyen diwakili, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, Amin Othma dan Norhazira Abu Hayan manakala Che Alias pula diwakili Wan Rohimi Wan Daud dan Saifuddin Othman.

Bagaimanapun mahkamah bersetuju untuk menangguhkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersabit keputusan mahkamah hari ini sehingga 3 Oktober depan sementara menunggu tindakan atau rayuan daripada pihak responden.

Sementara itu, Mohd. Hafarizam ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata, hakim telah memanggil peguam utama kedua-dua belah pihak dan memaklumkan beliau tidak akan memberi apa-apa penangguhan sehingga 3 Oktober ini.

“Cuma hakim akan melewatkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewatnya 3 Oktober ini tentang keputusan beliau pada hari ini.

“Jika sehingga 3 Oktober tiada permohonan untuk tangguh keputusan atau tiada rayuan (terhadap keputusan mahkamah hari ini), hakim akan maklum keputusan hari ini kepada SPR pada 3 Oktober ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rohimi pula memberitahu, pihaknya akan mengadakan berbincang dengan pengurusan parti berhubungan tindakan yang bakal diambil selepas ini sama ada mengemukakan rayuan atau sebaliknya.

Katanya, sebarang tindakan yang bakal diambil termasuk proses mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu akan diputuskan selepas ini.

Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 12 Februari, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen tersebut dan mengekalkan kemenangan Che Alias.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.

Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Dalam PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi menewaskan Ahmad yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing- masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi. – UTUSAN

Author

Pilihan Editor