HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis mula siasat Ebit Lew

Polis mula siasat Ebit Lew

KUALA LUMPUR: Polis memulakan siasatan terhadap pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew berhubung dakwaan laporan polis yang dibuat seorang wanita dari negara jiran, baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan laporan yang dibuat itu berkait dengan kesalahan apa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan satu siasatan dimulakan.

Terdahulu, polis hari ini juga mengesahkan menerima laporan daripada Ebit Lew yang mendakwa dirinya difitnah dalam sebuah video tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, laporan itu diterimanya daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun pada jam 2.17 pagi tadi.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dirinya difitnah oleh wanita itu dalam video berdurasi 27 minit 56 saat yang dimuat naik di media sosial, Jumaat lalu.

“Laporan polis berkenaan dikategorikan ROR atau RLR (Refer to Other Report/Rujuk Laporan Lain) dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fairus berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian video yang tular di media-media sosial.

Katanya, jika didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, pihak polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Terdahulu, Ebit Lew dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan bahawa satu laporan polis sudah dibuat selepas mendakwa dirinya dirinya difitnah secara melampau, baru-baru ini.

Ebit yang baru tiba dari Jeddah membuat laporan dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Kes berkenaan juga akan diserahkan kepada pihak peguamnya untuk tindakan undang-undang. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor