HomeBeritaMahkamah & JenayahWang Putera Faisal kepada Najib dipercayai ada kaitan syarikat Jho Low -...

Wang Putera Faisal kepada Najib dipercayai ada kaitan syarikat Jho Low – Penganalisis BNM

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM60.6 juta daripada akaun yang didaftar atas nama Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2011.

Wang RM60,629,839.43 itu diterima dalam dua transaksi iaitu pada 23 Februari dan 13 Jun 2011.

Menurut Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan yang menjalankan analisis terhadap aliran wang yang memasuki akaun peribadi Najib, nombor akaun Putera Faisal adalah sama dengan dengan nombor akaun Bank Riyad yang menerima dana daripada Good Star Ltd.

Good Star dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dalam prosiding terdahulu, Adam Ariff berkata, Jho Low telah membuka akaun bank Switzerland untuk syarikatnya, Good Star Limited, tiga bulan sebelum akaun luar pesisir itu menerima dana 1MDB berjumlah AS$700 juta.

“Akaun Bank Riyad itu memindahkan dana ke akaun Najib dalam tempoh satu hingga tiga hari selepas Good Star memindahkan dana ke akaunnya (akaun Putera Faisal).

“Berdasarkan jarak masa antara tarikh Good Star memindahkan dana ke akaun bank Riyad dan tarikh akaun bank Riyad memindahkan dana ke akaun Najib, serta nilai dana yang dihantar ke akaun bank Riyad dan nilai dana yang dipindahkan ke akaun Najib, munasabah untuk dipercayai akaun bank Riyad diguna sebagai akaun ‘pass through’ untuk memindahkan wang daripada Good Star, yang berasal daripada subjek sama,” kata saksi pendakwaan ke-47 itu.

Adam Ariff berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada prosiding sama, Adam Ariff menyatakan, Jho Low melalui Good Star menerima keseluruhan dana berjumlah AS$810 juta daripada 1MDB dalam tempoh tiga tahun iaitu daripada 2009 hingga 2011.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati penyata bank akaun Good Star termasuk akaun semasanya menunjukkan penerimaan dana daripada 1MDB dan Tarek Obaid (pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd. (PSI))

Saksi itu juga mengesahkan, sebelum menerima dana AS$700 juta daripada 1MDB, baki akaun dalam Good Star adalah sifar.

Katanya, daripada 30 September 2009 hingga 27 Mei 2011, satu-satunya pihak yang memindahkan dana ke dalam akaun syarikat itu adalah 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Utusan

 

Author

Pilihan Editor