HomeBeritaPunca nahas Elmina didedah 10 pagi ini

Punca nahas Elmina didedah 10 pagi ini

PETALING JAYA: Punca nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu yang meragut 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun akan didedahkan hari ini.

Pesawat malang yang membawa lapan individu itu di­sahkan terhempas dua minit selepas mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang, tanpa sebarang isyarat ‘Mayday’ atau isyarat kecemasan yang kebiasaannya dilakukan juruterbang sekiranya berlaku masalah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan tersebut akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan selewat-selewatnya pukul 10 pagi ini.

Katanya, ia selari dengan ramalan dan harapan beliau supaya laporan itu dibentangkan kepada umum sebelum Hari Malaysia, Sabtu ini.

“Semua fakta terkandung dalam laporan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian tren baharu LRT laluan Kelana Jaya, di sini semalam.

Awal minggu lalu beliau memaklumkan, laporan tersebut adalah berdasarkan rakaman suara selama 30 minit daripada ‘memory puck’ dalam perakam suara kokpit (VCR) pesawat itu.

Data rakaman suara yang berada dalam komponen ‘memory puck’ pesawat itu, diekstrak oleh makmal di Florida, Amerika Syarikat selepas makmal teknikal di Singapura gagal berbuat demikian disebabkan kerosakan teruk komponen ber­kenaan akibat kebakaran.

Bantuan mengekstrak data daripada pengilang peralatan asal (OEM) yang mengeluarkan kotak CVR pesawat terbabit iaitu syarikat L3Harris.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik justeru siasatan terperinci dapat dilaksanakan bagi menentukan punca sebenar nahas.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan, pesawat yang dikendalikan Jetvalet Sdn. Bhd. membawa enam penumpang serta dua kru penerbangan, dan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke LTSAS.

Difahamkan pesawat itu melencong ke arah kanan daripada laluan asalnya selepas mendapat kebenaran untuk mendarat.

Akibat insiden tersebut, 10 individu termasuk seorang penghantar makanan dan pemandu e-hailing yang ketika itu menggunakan laluan di lokasi nahas turut terkorban.

Lapan penumpang pesawat yang maut dalam nahas tersebut adalah Datuk Seri Johari Harun, Muhammad Taufik Mohd. Zaki, Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, Idris Abdul Ta­lib @ Ramali, Shahrul Kamal Ros­lan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Dua pengguna jalan raya yang maut adalah penunggang motosikal, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh dan pemandu kereta, Sharipudin Shaari.

Ketika proses mengeluarkan mangsa dari lokasi nahas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa terdapat sekitar 200 cebisan badan ditemukan di sekitar tempat kejadian. – Utusan

Author

Pilihan Editor