HomeBeritaMahkamah & JenayahSuspek maut ditembak curi lembu, larikan MPV dan serang anggota polis

Suspek maut ditembak curi lembu, larikan MPV dan serang anggota polis

 

MACHANG: Seorang lelaki yang terlibat dalam kegiatan mencuri lembu maut ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan senjata tajam di Tok Bok, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, suspek yang juga pemandu kereta telah bertindak keluar daripada kenderaannya dan menyerang anggota polis sebelum melarikan kenderaan unit peronda (MPV).

Timbalan Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, sebelum itu anggota bertugas telah memberikan amaran kepada lelaki berkenaan dan kemudiannya terpaksa bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek bagi mempertahankan diri daripada diserang.

Menurutnya, suspek kemudian telah bertindak meluru masuk ke bahagian tempat duduk MPV dan melarikan kenderaan tersebut ke arah Kota Bharu.

“Bagaimanapun, kita berjaya menahan rakan suspek yang berusia 43 tahun dan berasal dari Kubang Kerian untuk membantu siasatan.

“Manakala kenderaan peronda polis yang dilarikan telah dijumpai berhenti di tepi jalan kira-kira empat kilometer (km) dari lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati suspek telah meninggal dunia di bahagian kerusi pemandu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Ali memberitahu, sebelum kejadian anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah Machang telah melaksanakan rondaan di kawasan Kampung Joh, Labok, dekat sini setelah menerima aduan serta maklumat awam berkaitan sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, setelah menyedari kehadiran pihak polis, kereta yang dinaiki dua orang suspek itu bertindak memecut melarikan diri sebelum dikejar melalui jalan Machang ke arah Kota Bharu.

“Ketika itu, pihak polis telah memberikan arahan dengan pembesar suara supaya suspek memberhentikan kenderaan.

“Pada masa sama, berlaku beberapa kali pelanggaran antara kereta suspek dengan kenderaan peronda polis hingga kereta suspek terbabas ke kanan jalan di kawasan Kampung Labok,” ujarnya.

Mohd. Ali berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 33 tahun itu berasal dari Pengkalan Chepa dan mempunyai beberapa rekod jenayah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian suspek telah terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di Kawasan Kampong Joh, Labok, dekat sini ekoran terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi tersebut.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek telah menjumpai peralatan mencuri lembu seperti beberapa utas tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki Cina yang beralamat di Sungai Besar, Selangor.

“Mayat suspek dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ),” katanya.- Utusan

Author

Pilihan Editor