HomeSukanBas rosak teruk, jurulatih Lyon cedera diserang penyokong kasual Marseille

Bas rosak teruk, jurulatih Lyon cedera diserang penyokong kasual Marseille

PERLAWANAN antara pasukan Olympique de Marseille (Marseille) dan Olympique Lyonnais (Lyon) dalam saingan Ligue 1 pada Ahad terpaksa ditangguhkan, selepas bas pelawat diserang oleh penyokong kasual pasukan tuan rumah.

Le Parisien melaporkan bahawa, bas Lyon rosak teruk apabila kenderaan itu dibaling batu ketika dalam perjalanan ke Stadium Stade Velodrome di Marseille, Perancis.

Video tular memaparkan tingkap bas pecah manakala ketua jurulatih Lyon, Fabio Grosso mengalami kecederaan serius di kepala.

Sebaik sahaja tiba di stadium, Grosso terus keluar dari bas dan bergegas mendapatkan rawatan kecemasan, yang mana dia akhirnya memerlukan 12 jahitan di kepalanya.

Grosso menerima 12 jahitan di kepala. -Foto: Agensi

Manakala di dalam stadium pula, kasual tuan rumah sekali lagi melakukan provokasi terhadap penyokong pelawat yang hadir untuk memberikan sokongan buat Lyon.

Perlawanan itu sepatutnya bermula pada jam 7.45 malam (waktu tempatan), namun ditangguhkan beberapa minit sebelum ia bermula.

“Satu mesyuarat mengenai perkara itu akan dibuat bagi membolehkan kami mengambil kira pendapat pihak terbabit berikutan kecederaan kepada kakitangan Lyon.

“Keputusan diambil untuk tidak memulakan perlawanan. Keputusan seterusnya akan ditentukan oleh pihak berkuasa berkaitan,” kata pengadil, Francois Letexier dalam sidang akhbar.

Serangan dan penangguhan perlawanan itu turut menyebabkan orang atasan bagi kedua-dua pasukan berang.

Pemilik Lyon, John Textor menegaskan bahawa pasukannya masih tetap mahu bermain.

“Tidak (kami tidak meminta untuk membatalkan perlawanan). Perkara ini sangat cepat berlaku dan kami sudah mengadakan perbincangan dengan pasukan. Pasukan kami memutuskan untuk bermain.

“Mereka (pemain) mahu bermain dan sudah bersedia untuk itu. Saya sangat berbangga dengan kapten yang mahu meneruskannya. Keputusan dibuat secara sukarela. Kami mahu bermain bola sepak dan kami marah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Marseille, Pablo Longoria berkata, serangan yang turut menyebabkan kecederaan kepada Grosso itu tidak boleh diterima dan tidak boleh berlaku dalam dunia bola sepak.

“Mereka hanya orang bertindak melulu, merosakkan pasukan apatah lagi terdapat 65,000 penonton dalam stadium.

“Saya marah kerana perkara itu tidak boleh berlaku dalam bola sepak atau masyarakat,” tegasnya seperti dilapor 90 MIN.

Keputusan mengenai jadual perlawanan itu akan ditentukan semula oleh Suruhanjaya Persaingan Ligue 1.

 

 

Author

Pilihan Editor