HomePendidikanBayaran Bantuan Awal Persekolahan disalur ikut rekod sekolah - Fadhlina

Bayaran Bantuan Awal Persekolahan disalur ikut rekod sekolah – Fadhlina

PUTRAJAYA: Ibu bapa dan penjaga tidak perlu mengisi borang permohonan untuk mendapatkan Bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP), RM150 yang diumumkan Isnin lalu kerana ia akan disalurkan mengikut rekod yang ada di sekolah anak masing-masing.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata rekod murid sudah ada di sekolah dan jumlah bantuan diberikan kepada setiap murid juga adalah sama seperti sebelum ini.

“Sebanyak RM150 akan diberikan kepada setiap murid secara sekali bayar,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lalu, khusus untuk tujuan BAP.

Kementerian memaklumkan, bayaran BAP akan diagihkan kepada murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing, yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM komited untuk mencapai sasaran nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah bagi memastikan saranan dan intervensi yang diperlukan klien berjalan dengan efisien dan efektif.

Menurutnya, KPM sedang berusaha dan bekerja keras ke arah mencapai sasaran itu dan persidangan yang diadakan ini juga menjadi salah satu usaha bagi menjayakan hasrat itu.

Katanya, pendekatan kaunseling khusus kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) perlu diberikan tumpuan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling di samping memahami aspek silang budaya kerana golongan murid ini adalah orang kurang upaya (OKU).

“Budaya MBPK mempunyai perbezaan dengan budaya murid normal dan perkara ini menjadi cabaran kepada guru terbabit,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor