KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan perbincangan dengan beberapa negara bagi menggunakan mata wang tempatan untuk berdagang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, langkah bagi mengawal kejatuhan ringgit yang disebabkan faktor luaran khususnya terkait kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) itu, turut dipersetujui beberapa negara termasuk China.
“Dalam beberapa sidang (di luar negara), saya bincang dengan beberapa negara supaya kita gunakan nilai wang tempatan untuk berdagang. China sambut baik.
“Sekadar 20 hingga 28 peratus pelaburan yang besar (melibatkan) puluh bilion ringgit itu tidak menggunakan dolar (sebaliknya) menggunakan ringgit… itu tidak menjejaskan kehilangan ringgit dan penyusutan ringgit (yang berterusan).
“Begitu juga Thailand yang kita percaya guna mata wang tempatan. (Sekarang) Indonesia, Thailand dan China. Tapi tak semua bidang (guna mata wang tempatan) terutama kalau dia terbabit dalam komoditi perdagangan antarabangsa.
“Sebab itu kita juga cadang yang kita istilahkan sebagai ‘dedolarization’ kerana negara Asean dan Asia ketika saya bincang dengan Perdana Menteri Li Qiang di Nanning, kebergantungan kepada dolar itu menyebabkan nilai mata wang kita jatuh seperti mana juga yang berlaku kepada renminbi China dan yen Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, pada masa ini untuk menghentikan penggunaan sepenuhnya dolar secara mendesak dalam perdagangan antarabangsa adalah sukar, namun Malaysia lebih aktif dan agresif dalam menekankan keperluan meningkatkan kegunaan mata wang tempatan ini.
“Dengan (trend) kos import (naik) sebab kita import. Namun eksport dan import itu juga tinggi dengan China dan sekarang ini, ada pendekatan meningkatkan keperluan gunakan wang tempatan dengan China,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia sudah menandatangani rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan dengan Thailand dan Indonesia bagi menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan.
Malaysia juga antara pertama menandatangani perjanjian pengaturan swap mata wang dengan China bagi penggunaan yuan dan ringgit untuk penyelesaian perdagangan dan pelaburan membabitkan kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan memberi jaminan rasionalisasi subsidi yang sedang diusahakan kerajaan ketika ini tidak akan membebankan golongan bawah serta M40.
“Berapa kos subsidi kita… yang dijangka RM67 bilion hingga RM70 bilion (setahun), sekarang sudah mencecah RM81 bilion.
“Sebahagian kecil ini (disebabkan) nilai atau kos import meningkat terutama makanan. Ini yang menyebabkan kita perlu ada dasar baharu untuk menanganinya.
“Tapi saya beri jaminan kita akan berikhtiar sedaya upaya untuk mengurangkan beban rakyat miskin dan ke bawah serta M40 yang terkesan dengan senario ekonomi sekarang, yang juga berlaku di seluruh dunia.
“Perbincangan kita dengan pimpinan luar, lusa saya dengan Perdana Menteri Thailand, (akan terus bincang) apa langkah yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan beban (kos sara hidup),” katanya. – Berita Harian