HomeGlobalEskalator ke puncak gunung ‘bunuh’ keseronokan mendaki di China?

Eskalator ke puncak gunung ‘bunuh’ keseronokan mendaki di China?

PEMBINAAN eskalator di Gunung Tianyu, daerah Chunan di timur wilayah Zhejiang, China nyata mendapat kritikan umum.

Perkara itu berikutan sebilangan pihak beranggapan eskalator berkenaan ‘memusnahkan’ perasaan mendaki gunung, lapor South China Morning Post.

Bagaimanapun, ada juga yang berpandangan positif dengan menyifatkan kemudahan eskalator itu memberi peluang kepada golongan warga emas dan kurang upaya menjejakkan langkah di puncak gunung itu.

Malah, pemasangan eskalator sepanjang 350 meter yang dibina tahun lalu di lereng gunung itu turut membantu pelancong menikmati pemandangan dengan lebih baik sekali gus lebih cepat sampai ke puncak.

Menurut pengurus syarikat pembangunan pelancongan yang mengendalikan eskalator itu, Xu, pada awalnya pihaknya bercadang untuk membina kereta kabel di kawasan berkenaan.

“Idea awal kami adalah untuk membina kereta kabel. Tetapi ia membawa lebih sedikit orang dan lebih berisiko,” maklumnya.

Difahamkan, kemudahan eskalator yang menelan belanja sebanyak 10 juta yuan (AS$1.4 juta) itu terbahagi kepada tiga bahagian dan harga tiket menaikinya ialah 30 yuan (AS$4).

Menerusi eskalator itu, pelancong kini hanya perlu mengambil masa 10 minit untuk tiba di penghujung jalan kemudian pelancong perlu melengkapkan 3 kilometer terakhir perjalanan ke puncak dengan berjalan kaki.

Ini bermakna, tempoh perjalanan yang diambil pelancong untuk tiba di puncak mengambil masa sekitar 50 minit sahaja.

Dalam pada itu, rata-rata orang awam menyukai pembinaan eskalator di lereng gunung kerana menyifatkan ia memudahkan perjalanan dan memberi keselesaan buat golongan yang tidak gemar mendaki.

“Ia hebat untuk orang tua dan kanak-kanak. Anda tidak perlu mendaki sendiri. Hanya berdiri di eskalator. Secara ringkasnya, anak saya gembira dan saya gembira,” kata satu poster di Weibo.

“Saya sangat menyokong idea eskalator gunung ini. Setiap orang mengambil apa yang dia perlukan. Mereka yang sanggup mendaki gunung hanya pergi mendaki. Tetapi bagi saya, saya lebih suka menggunakan eskalator,” tulis seorang lagi netizen.

Untuk makluman, China turut mempunyai eskalator di lereng gunung lain iaitu di Tangga Langit Selatan (104 meter) yang terletak di Taizhou di wilayah Zhejiang, yang dibina tiga tahun lalu.

Author

Pilihan Editor