PELAKON senior, Datuk Fauziah Nawi membuat laporan terhadap individu yang menggunakan gambarnya menerusi akaun bernama Kak Jah Sungai Dua di platform X.
Fauziah berkata, perkara itu susulan akaun berkenaan mengulas mengenai isu bayaran gerai makan yang melibatkan penyanyi Mawi dan isterinya, Ekin.
“Untuk makluman ada orang yang buka akaun Twitter (X) atas nama Kak Jah Sungai Dua menggunakan gambar saya.
“Ini bukan akaun saya. Saya dah buat report,” tulisnya menerusi perkongsian di Instagram miliknya.
Tindakan Fauziah turut disokong warga net yang membanjiri komen di perkongsian berkenaan kerana beranggapan tindakan individu menggunakan gambarnya sebagai sesuatu yang melampau.
Sebelum ini, kecoh dalam kalangan netizen apabila Ekin berkongsi harga yang perlu dibayar selepas menikmati hidangan makanan laut di sebuah restoran di Johor Bahru.
Selepas perkongsian Ekin tersebut viral, pemilik kedai telah membuat kenyataan balas dan memperincikan satu persatu menu yang dipesan oleh Ekin.