HomeBeritaKadar sewa penginapan rendah antara punca lambakan warga asing di Nilai

Kadar sewa penginapan rendah antara punca lambakan warga asing di Nilai

SEREMBAN: Kadar sewaan premis yang rendah termasuk untuk dijadikan asrama pekerja oleh majikan antara faktor kawasan Nilai di sini menjadi tumpuan dengan kehadiran dan lambakan pekerja-pekerja asing.

Jumlah yang ramai menginap di kawasan Nilai walaupun ada di antara mereka bekerja di negeri jiran telah menyaksikan masyarakat di kawasan sekitar turut menerima kesan ekoran masalah dan pelanggaran undang-undang yang turut dilakukan warga asing terbabit.

Perkara berkenaan diakui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut menyatakan, terdapat majikan yang turut mengambil kesempatan sehinggakan ada pekerja-pekerja asing ini tinggal dalam keadaan tidak selesa di premis-premis terlibat.

“Mereka (warga asing) bekerja di negeri jiran, tinggal di sini namun tidak mengikut peraturan, walaupun kita sedia maklum kita telah menghadapi masalah semasa pandemik Covid-19 yang lalu, namun ia berulang lagi, kita ada peraturan untuk mereka tinggal dalam suasana kediaman lebih selesa namun mereka seolah-olah dipaksa tinggal dalam keadaan sebegini.

“Ia menjadikan Nilai ini sebagai tempat untuk mereka (majikan) meletakkan pekerja-pekerja mereka dengan alasan bahawa Nilai ini sewanya lebih murah berbanding negeri jiran yang terletak bersebelahan. Ini salah satu faktor yang bagi saya mereka mengambil kesempatan, yang mendapat masalahnya pula adalah masyarakat di sekitar Nilai.

“Jadi pihak berkuasa perlu adakan pemeriksaan dan memang terdapat kesalahan-kesalahan, mereka (majikan) juga harus ikut peraturan-peraturan yang ditetapkan kerajaan termasuklah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita tahu sebahagian daripada mereka ada lesen, mereka juga warganegara dan boleh menjalankan perniagaan mereka dengan baik, tetapi pastikan jangan melanggar peraturan, ada kedai yang telah lama beroperasi tapi baharu mahu mohon lesen apabila operasi telah kita dijalankan,” katanya.

Aminuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) berkata demikian kepada pemberita selepas beliau turun padang menyertai operasi bersepadu melibatkan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan Negeri Sembilan di Nilai, malam semalam.

Sementara itu, beliau berkata operasi dikenali sebagai Op Sabong itu dijalankan selepas timbul isu berkenaan lambakan warga asing di negeri ini khususnya di kawasan Seremban dan Nilai.

“Op Sabung merupakan suatu bentuk atur gerak operasi bersepadu seluruh agensi keselamatan dan penguat kuasa termasuk PBT bagi menangani sebarang isu keselamatan dan ketenteraman awam terutamanya lokasi-lokasi panas yang telah dikenal pasti di daerah Seremban dan Nilai.

“Operasi ini tidak terhad dan terikat kepada isu-isu berkaitan warga asing sahaja sebaliknya turut memberi tumpuan kepada perkara lain melibatkan pelanggaran undang-undang, akta, peraturan dan enakmen seperti jenayah, penyelewengan, penyeludupan, salah guna permit dan lesen serta penyalahgunaan dadah,” katanya.

Aminuddin memberitahu, Op Sabung berkenaan berlangsung selama enam hari bermula 24 Oktober lalu yang melibatkan kekuatan seramai 350 pegawai dan anggota daripada 10 jabatan dan agensi keselamatan dan penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Briged Pertama Infantri Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Seremban.

“Sehingga pukul 6 petang semalam (28 Oktober 2023), Op Sabong telah berjaya melaksanakan 17 operasi bersepadu dengan lebih 1,000 warga asing diperiksa dan 185 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Sebanyak 254 premis telah diperiksa dan lima premis telah disita manakala sejumlah 388 kompaun dan saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Menerusi Op Sabong ini juga, sejumlah 600 botol dan tin bir dan 51 peket rokok pelbagai jenama yang diseludup dan disyaki mengelak daripada dikenakan cukai Kastam serta 10 peket syabu dan 16 peket heroin telah dirampas,” katanya.- UTUSAN

Authors

Pilihan Editor