BENTONG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendapati kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran negara berpunca pembelian panik dicetuskan sebuah video yang menyebarkan berita palsu bahawa bekalan beras jenis itu bakal kehabisan.
Selain itu, kementerian juga mengesan trend pengguna yang terpaksa beralih daripada membeli beras putih import (BPI) kepada BPT, ekoran berlaku kenaikan harga mendadak disebabkan tindakan India menghentikan eksport bahan mentah itu.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata situasi berkenaan mendorong pengguna ‘menyerbu’ pasar raya mahupun kedai runcit untuk membeli BPT lebih banyak daripada biasa.
Tidak kurang pengguna yang kebiasaannya membeli BPI yang sebelum ini dijual pada harga RM32 hingga RM34 bagi setiap kilogram (kg) kerana menganggap harga itu berpatutan, beliau berkata setelah harga ‘melambung’ sehingga mencecah RM37 dan RM40 membuatkan kumpulan itu terpaksa menukar ‘cita rasa’ dengan membeli BPT yang harganya lebih murah.
“Orang Petaling Jaya, orang Shah Alam dan orang sebelah situ semuanya makan beras import sebab harga beras tempatan RM26 manakala beras import harganya RM32 dan RM34. Tidak mahal sangat dan mereka kata beras import ini elok.
“Tetapi bila harga beras import naik melambung sampai RM37, RM40, mereka cari beras tempatan. Bila cari beras tempatan pula ada (pihak) main (sebar) dalam video dan sebagainya bahawa bulan depan tak ada beras.
“Jadi orang ramai pun terpa (serbu) pergi beli beras yang sebelum dia (cuma) guna sekampit tetapi dia beli tiga (kampit). Bila dia beli tiga (kampit) dia ambil yang orang lain dua kampit. Yang (selalu guna) dua kampit pula dia beli empat (kampit).
“Di Pokok Sena masa kita nak jual beras di bawah LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) ada seorang makcik dia beli dua kampit dan dia bawa masuk dalam but kereta.
“Kemudian dia datang balik beli dua kampit lagi. Saya tanya berapa ramai anak mak cik? (Dia kata) anak dua (orang). Sebulan berapa (kampit)? (Dia kata) sekampit tak habis. Kenapa beli empat. Mereka bagi tahu bulan depan tak ada beras,” katanya pada ceramah di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Kampung Hayat di sini malam tadi.
Sehubungan itu, Mohamad menasihati semua supaya membeli mengikut keperluan sambil memberi jaminan kerajaan akan mencari jalan untuk menangani masalah berkenaan.
Mengakui keadaan sekarang agak kelam-kabut, beliau berkata semakin hari keadaan mulai pulih dengan pelaksanaan beberapa langkah jangka pendek.
“Esok (hari ini) kita akan bincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kalau sudah bersetuju semuanya, …agensi kerajaan seperti hospital, kem tentera, polis dan sebagainya, kita minta mereka membeli beras import.
“Selepas itu, bekalan beras tempatan akan dilambak kembali di pasaran. Kalau tak menjadi juga, saya cari jalan yang lain kerana itu (strategi) jangka pendek,” katanya.
Mengenai strategi jangka panjang, Mohamad berkata, kerajaan sekarang sedang berusaha untuk merealisasikan tuaian hasil padi selama lima musim untuk tempoh dua tahun, menerusi kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek penanaman padi akan dikembangkan lebih luas di Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak dalam usaha kerajaan memastikan keterjaminan makanan membabitkan bekalan beras untuk keperluan negara.
“Ini supaya beberapa tahun lagi bekalan beras cukup di Malaysia Insya-Allah. Kita tak boleh diam kerana semua kita kena buat kerja, kena ikhtiar. Kalau dengan maki sahaja tak boleh selesai (masalah).
“Saya tak peduli hal fitnah. Yang penting kita terus lakukan (kerja). Dulu ayam juga bermasalah tetapi sekarang sudah stabil. (Bekalan) telur juga stabil tapi ada ladang tak cukup sedikit sebanyak itu biasa namun umumnya stabil.
“Beras pun Insya-Allah (bekalannya) akan stabil. Kita akan cari jalan yang terbaik kerana kerajaan ini bukan kita duduk saja,” katanya. – Berita Harian