HomeBeritaPolitikPAS minta Anwar panggil duta, wakil negara jika benar diancam isu Palestin

PAS minta Anwar panggil duta, wakil negara jika benar diancam isu Palestin

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memanggil duta atau wakil negara sekiranya benar Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin Eropah, berikutan kelantangan memperjuangkan isu Palestin.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut penting bagi menyampaikan bantahan Malaysia dan bukan sebaliknya membuat kenyataan terbuka tanpa memberi penjelasan.

“PAS percaya kenyataan ‘alarmist’ sebegini, bertujuan menonjolkan ‘kehebatan’ dan ‘kepentingan’ Perdana Menteri, sudah menjadi ciri kekal pentadbirannya yang sehingga kini masih terkial-kial dalam mendapatkan sokongan dan kepercayaan awam.

“Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan ‘kehebatan’ seseorang pemimpin.

“Selain itu, ia juga boleh menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana Perdana Menteri membuat ‘dakwaan rambang dan khayalan’ sedemikian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Anwar mengesahkan Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin Eropah ekoran kelantangannya memperjuangkan isu Palestin.

Katanya, ugutan berkenaan bagaimanapun tidak sama sekali mematahkan semangat Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin pada ketika ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengkritik Israel sudah diketahui umum dan bukanlah berita baharu.

Memberi contoh Perdana Menteri terdahulu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Takiyuddin berkata, kesemuanya diketahui sangat lantang bersuara mengenai isu terbabit.

“Namun, tiada pula mereka dilaporkan ‘diancam’ berkait ketegasan dan kelantangan itu.

“Malah, Malaysia juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Palestin dan juga Hamas di bawah kepimpinan sebelum ini.

“Jadi, kenapa pula PM Anwar tiba-tiba ‘diancam’ dan ancaman itu pula adalah dalam bentuk ‘kenyataan-kenyataan’ yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen?” soalnya.

Author

Pilihan Editor