HomeBeritaPemandu, pengusaha lori di Kedah berkumpul serah memorandum

Pemandu, pengusaha lori di Kedah berkumpul serah memorandum

 

ALOR SETAR: Sekumpulan 100 pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan di negeri ini berkumpul untuk menyerahkan memorandum yang mengandungi sembilan tuntutan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, hari ini.

Dalam memorandum itu antaranya terkandung permohonan untuk dipertimbangkan supaya mereka dibenarkan mengangkut bahan muatan selari dengan paras pagar lori seperti pelan lori yang diluluskan oleh JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Menurut jurucakap kumpulan itu, Mohd. Muzaidi Zakaria, jika berdasarkan berat dengan muatan (BDM) dan berat tanpa muatan (BTM) semasa, mereka hanya dibenarkan membawa kira-kira 12 ke 13 tan barangan sahaja yang hanya menyamai separuh pagar kenderaan berat itu.

“Kami juga mohon penggunaan penimbang mudah alih dapat dihentikan kerana penimbang tersebut kurang efisyen daripada segi ketepatan dan penyelenggaraan selain berharap penggunaan unit metrik meter digunakan oleh JPJ bagi memastikan kepatuhan kami kepada undang-undang.

“Pada masa sama diharapkan agar kerajaan menghapuskan sistem mata dimerit yang dikenakan kepada pemandu kerana sistem tersebut sangat tidak adil kepada pemandu yang membolehkan lesen kami digantung dan hilang punca pendapatan,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di Pejabat JPJ Kedah, di sini.

Memorandum tersebut diterima oleh Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim selepas mereka berkumpul di Taman Jubli Emas, di sini sebelum berarak sejauh kira-kira 150 meter ke pejabat JPJ.

Antara tuntutan lain yang dikemukakan adalah memohon saman melibatkan muatan yang dikenakan kepada pemandu dihapuskan kerana mendakwa ianya tidak adil bagi pihak pemandu kerana kapasiti barangan muatan ditentukan oleh pengusaha dan pengilang.

Mohd. Muzaidi berkata, satu undang-undang yang membolehkan pengilang-pengilang boleh dikenakan tindakan juga perlu diwujudkan jika pihak terbabit membenarkan lori membawa muatan yang lebih keluar daripada kilang masing-masing.

Tambahnya, JPJ juga diharapkan tidak menggunakan kenderaan tanpa logo semasa menjalankan operasi kerana pemandu berhak untuk tidak memberhentikan kenderaan jika barangan yang dibawa adalah berharga.

“Banyak kes penyamaran untuk samun dan rompak kenderaan perdagangan terjadi disebabkan perkara ini. Walhal kami memainkan peranan memajukan negara dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui usaha yang dilakukan. Tanpa kami, pembangunan infrastruktur dan pergerakan bahan binaan mungkin terjejas kerana kami adalah pautan antara pengeluar dan pengguna.

“Harapan kami dengan keadaan ekonomi sekarang, waktu operasi terhadap kami dapat dikurangkan kerana kami kini diperlakukan seperti penjenayah nombor satu negara, dikejar dan ditangkap setiap hari tak kira siang malam,” katanya. – Utusan

Author

Pilihan Editor