HomeSukanRM4.7 juta naik taraf padang, fasiliti penyelenggaraan SNBJ

RM4.7 juta naik taraf padang, fasiliti penyelenggaraan SNBJ

BUKIT JALIL: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.7 juta bagi projek kerja-kerja menaik taraf, struktur, kerja penyelenggaraan serta tapak semaian padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di ibu negara.

Daripada jumlah itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kos menaik taraf padang yang melibatkan pembinaan dan penyelenggaraan menelan belanja sebanyak RM2.2 juta, manakala kos pembelian mesin dan peralatan penyelenggaraan pula bernilai RM2.5 juta.

Bagi peruntukan kerja-kerja tambahan, beliau berkata, kos kerja pemasangan laluan paip baharu dan laluan kabel baharu dari rumah pam bernilai RM47,500, manakala kerja tambahan penyambungan kabel elektrik bernilai RM33,900.

Susulan itu, katanya, padang SNBJ telah bersedia untuk mengadakan pelbagai perlawanan bola sepak, termasuk Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung pada 13 Oktober dan perlawanan akhir pada 17 Oktober ini.

“Selain penukaran rumput, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga sedang giat menaik taraf dan menambahbaik keseluruhan fasiliti dan kemudahan sedia ada di SNBJ.

“Antara kerja-kerja naik taraf yang telah selesai adalah kerja-kerja pembaikan kerosakan trek larian kawasan luar stadium nasional dan kerja-kerja penyelenggaraan facade stadium nasional,” umumnya dalam satu sidang media pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian padang SNBJ yang disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim, di sini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Mohd Faidz Sanusi; Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac; Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin; serta wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pada 18 Mac, PSM telah melaksanakan kerja penukaran rumput Zeon Zoysia dan tapak semaian untuk menaik taraf kualiti dan mutu padang di SNBJ dengan kerjasama TMJ.

Selain itu, tempoh penyelenggaraan rumput dibuat selama setahun, bermula 1 Oktober 2023 hingga 30 September 2024.

Author

Pilihan Editor