HomeBeritaMahkamah & Jenayah12 tuduhan ubah wang haram, rasuah Adam Radlan didengar di mahkamah Kuala...

12 tuduhan ubah wang haram, rasuah Adam Radlan didengar di mahkamah Kuala Lumpur

 

KUALA LUMPUR: Kes Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, yang berdepan enam tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.6 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Ia selepas Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamy untuk kes itu dipindahkan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Perintah dibenarkan seperti yang dimohon. Kes dihadapi tertuduh di mahkamah ini (Mahkamah Sesyen 9) akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 14,” kata Azura.

Ini menjadikan kes ahli perniagaan berusia 42 tahun itu atas keseluruhan 12 tuduhan kes rasuah dan pengubahan wang haram akan didengar oleh Suzana.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh di hadapan Suzana memaklumkan akan membuat permohonan untuk kesemua kes Adam Radlan dibicarakan secara bersama.

“Kami belum membuat permohonan untuk kes dibicarakan bersama kerana pihak pembelaan memaklumkan perlu meneliti dokumen berkenaan kesalahan pengubahan wang haram terlebih dahulu.

“Mohon mahkamah tetapkan satu tarikh singkat untuk mengetahui perkembangan mengenai perkara ini,” katanya.

Peguam bela Adam Radlan, Datuk Seri Rajan Navaratnam, mengesahkan memerlukan masa untuk meneliti dokumen, sebelum Suzana menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pada 9 November lalu, ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.6 juta.

Adam Radlan sebagai Pengarah Bumiraya Sdn Bhd memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM3.675 juta dari akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu ke akaun bank sama milik tertuduh serta tiga individu lain termasuk Nabilah Mahiaddin antara 1 Disember hingga 27 Disember 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Di Mahkamah Shah Alam pada 22 Februari lalu pula, Adam Radlan didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd mendapatkan dua projek.

Ahli perniagaan itu juga dihadapkan sebanyak tiga kali di Mahkamah Sesyen di sini, sebelum ini.

Pada 25 Oktober lalu, Adam Radlan didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 dari akaun CIMB Bank Berhad miliknya di CIMB Berhad, Cawangan Bukit Tunku di sini antara 2 Disember 2021 hingga 22 Februari 2022.

Pada 28 Februari pula, dia didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian Tian Chuan sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan didakwa meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh Mat Jusoh Mamat iaitu Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd dan suapan bernilai RM500,000 daripada individu sama berhubung projek Jana Wibawa. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor