HomeBerita200 buah bot kibar bendera Palestin tanda solidariti

200 buah bot kibar bendera Palestin tanda solidariti

TUMPAT: Sebanyak 200 bot menyusuri Sungai Kelantan sambil kibarkan bendera Palestin sebagai tanda sokongan padu kepada umat Islam di negara berkenaan yang sedang berdepan penindasan rejim Zionis.

Perarakan sejauh dua kilometer yang bermula di jeti Laman Warisan Kampung Laut ke Lembah Sireh, Kota Bharu dekat sini itu melibatkan pelbagai lapisan umur.

Pengarah Program, Anas Rizuan Shamsuddin berkata, pihaknya terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh golongan nelayan, penduduk pulau, belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Anak Muda Tumpat yang menjayakan perarakan ini.

Menurutnya, walaupun kali pertama dianjurkan namun semangat itu mencerminkan keteguhan rakyat Kelantan dalam menyokong perjuangan Palestin.

“Alhamdulillah, kita mulakan pelepasan bot dengan bacaan Qunut Nazilah, laungan takbir dan nyanyian lagu berkait perjuangan Palestin.

“Hal ini bagi menyemarakkan lagi sifat kecaknaan para peserta kepada umat Islam di negara berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelepasan Perarakan Bot Solidariti Palestin di jeti Laman Warisan Kampung Laut anjuran NGO Kelab Anak Muda Tumpat hari ini.

Pelepasan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yaakob.

Sementara itu Ahmad berkata, ini satu himpunan bersejarah zahirkan solidariti kepada Palestin.

“Walaupun kita semua tidak dapat bersama rakyat Palestin di sana tetapi hari ini kita zahirkan solidariti untuk bersama-sama Palestin. Teruskan berdoa agar Allah bantu rakyat Palestin semoga diteguhkan keimanan mereka,” katanya. – Utusan

Authors

Pilihan Editor