IPOH: Mengambil upah untuk melakukan khianat menggunakan api serta membaling cat di sekitar bandar raya ini bagi menakutkan penduduk.
Itu ‘kerja’ yang dilakukan dua lelaki tempatan sejak awal bulan ini, sebelum mereka ditahan polis di stesen minyak di Jalan Besar Chemor, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, penahanan suspek berusia 27 dan 44 tahun itu menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes khianat.
Katanya, mereka yang masing-masing mempunyai 13 dan 20 rekod kesalahan lampau diberkas pasukan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh dengan kerjasama D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
“Polis turut merampas Proton Saga BLM, telefon bimbit dan pakaian, selain ujian saringan air kencing suspek mendapati mereka positif dadah.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kini direman tiga hari hingga Rabu, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Yahaya berkata, kes terakhir dipercayai membabitkan suspek adalah perbuatan membakar Proton X50 yang diletakkan di sebuah rumah di Taman Badrishah, Lahat pada Jumaat lalu.
Katanya, suspek bukan along sebaliknya hanya diupah untuk melakukan kerja itu dan tidak mengenali orang yang mengupah mereka.
“Komunikasi melalui WhatsApp sahaja dan mereka berdua juga tiada pekerjaan tetap. Suspek mengaku sudah buat kerja ini sejak awal bulan ini tapi kita percaya mereka bukan baharu lakukan kerja seperti ini,” katanya. – Harian Metro